KUCHING: Kemajuan fizikal keseluruhan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Fasa 1 kini mencapai sekitar 38.2 peratus setakat 30 April 2026, berbanding sasaran asal sebanyak 44.8 peratus.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perbezaan kemajuan tersebut berpunca daripada beberapa faktor saling berkaitan termasuk isu prestasi kontraktor, penambahbaikan serta reka bentuk semula jajaran projek, khususnya melibatkan Laluan Merah.
Menurut beliau, skala dan kerumitan kerja pengalihan utiliti bawah tanah turut menjadi antara cabaran utama yang memberi kesan terhadap perkembangan semasa projek pengangkutan awam berimpak tinggi itu.
“Susulan semakan teknikal dan bajet, jajaran Laluan Merah di sepanjang Jalan Tun Razak hingga ke Pending telah direka semula kepada struktur bertingkat sepenuhnya bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan rangkaian untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Beliau menambah, skop Laluan Hijau turut diperhalusi dengan laluan ‘Autonomous Rapid Transit’ (ART) meliputi jajaran Pending hingga Yayasan Sarawak, manakala ‘Bas Feeder Hidrogen’ akan menyokong rangkaian KUTS dari Yayasan Sarawak ke Damai Central.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Lee mendedahkan dokumentasi tender bagi pakej Laluan Hijau kini sedang dimuktamadkan sebelum dilancarkan pada suku kedua tahun ini.
Pembinaan bagi pakej tersebut disasarkan bermula pada suku keempat 2026, manakala keseluruhan Projek KUTS dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga 2030.
Sementara itu, operasi perintis KUTS dijadual bermula pada suku keempat tahun ini melibatkan laluan dari Depoh Rembus, Samarahan ke Northbank, Stutong.
Fasa tersebut akan membolehkan orang ramai merasai pengalaman menggunakan sistem ART sebelum operasi komersial penuh dijangka bermula pada 2027.
Pada masa sama, Sarawak turut dijangka menerima empat unit ART dan 10 bas feeder hidrogen tahun ini bagi menyokong operasi perintis sistem pengangkutan berkenaan. -EDISI UKAS