Kargo Udara Jadi Pemangkin Ekonomi, Sarawak Perkukuh Infrastruktur Logistik
KUCHING: Sektor kargo udara terus menjadi tumpuan utama Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam menyokong perdagangan dan rantaian bekalan berimpak tinggi.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, usaha menaik taraf kemudahan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mempertingkat keupayaan logistik udara negeri.
Menurut beliau, projek naik taraf gudang Malaysia Airlines Cargo (MASkargo) yang kini sedang dilaksanakan dengan kos kira-kira RM2.5 juta akan meningkatkan kecekapan pengendalian, kapasiti penyimpanan serta aliran operasi kargo di lapangan terbang berkenaan.
“Penambahbaikan ini amat penting kerana kargo udara memainkan peranan besar dalam menyokong ekonomi Sarawak, khususnya melibatkan pergerakan barangan bernilai tinggi dan sensitif masa seperti elektronik, produk mudah rosak, farmaseutikal serta e-dagang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Beliau menambah, pengukuhan infrastruktur kargo udara juga penting dalam memastikan kelancaran aktiviti import dan eksport negeri, di samping meningkatkan daya saing Sarawak dalam rangkaian logistik serantau.
Dalam pada itu, beliau berkata penyertaan pelbagai pengendali kargo dan pengangkutan udara seperti MASkargo, AirAsia Cargo (Teleport), Raya Airways serta beberapa syarikat lain turut memperkukuh ekosistem kargo udara di LTAK.
“Kerajaan Sarawak mengalu-alukan pelaburan berterusan dalam kemudahan kargo lapangan terbang sebagai sebahagian daripada strategi untuk meletakkan Kuching sebagai hab penerbangan dan logistik serantau,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata perancangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu di Tanjung Embang turut mengambil kira potensi pertumbuhan kargo dan keperluan infrastruktur masa hadapan.-EDISI UKAS