KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak memperkukuh langkah keselamatan infrastruktur utiliti dan telekomunikasi bagi menangani kegiatan vandalisme yang semakin membimbangkan di wilayah ini.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kementeriannya melalui Jawatankuasa Anti-Vandalisme telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV), pemantauan keselamatan 24 jam dan teknologi pengecaman wajah di menara SMART.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan mengesan pencerobohan serta aktiviti mencurigakan di kawasan kemudahan utiliti dan telekomunikasi.
“Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) memperkukuh keselamatan di beberapa tapak telekomunikasi yang sering menjadi sasaran vandalisme dan kecurian dengan menaik taraf pagar perimeter sedia ada serta menggantikan pintu kepada jenis besi galvanis yang lebih kukuh.
“Selain itu, menara SMART turut dilengkapi sistem CCTV, pemantauan keselamatan 24 jam menggunakan teknologi pengecaman wajah serta siren amaran automatik sekiranya berlaku pencerobohan atau aktiviti mencurigakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Tegas Dato Sri Julaihi lagi, kegiatan vandalisme melibatkan kecurian dan kerosakan kabel, transformer, tiang elektrik serta paip air tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan bekalan elektrik, air dan telekomunikasi termasuk internet.
Ujarnya, walaupun kabel utiliti kelihatan kecil, tindakan memotong kabel secara sengaja boleh memberi impak besar terhadap perkhidmatan utiliti dan menyusahkan penduduk setempat.
“Keadaan ini turut menyebabkan agensi-agensi di bawah seliaan Kementerian saya menerima aduan bertubi-tubi
daripada orang ramai, termasuklah daripada Ahli-ahli Yang Berhormat.
"Bagi mereka yang tidak faham dengan keadaan ini, mereka akan sewenang-wenangnya menyalahkan pihak kerajaan melalui media sosial tanpa usul periksa,” tambahnya lagi.
Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran kemudahan utiliti dan telekomunikasi kepada pihak berkuasa. -EDISI UKAS