KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri menerusi sasaran meningkatkan tahap sara diri (SSL) bagi beras kepada 60 peratus dan daging lembu kepada 25 peratus menjelang tahun 2030.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Sarawak kini telah mencapai tahap sara diri yang memberangsangkan bagi beberapa komoditi utama termasuk ayam sebanyak 117 peratus, babi (101 peratus), telur (100 peratus), buah-buahan (98 peratus), perikanan (96 peratus) dan sayur-sayuran (75 peratus).
Menurut beliau, usaha memperkukuh sektor padi dan beras turut diperkasa menerusi kelulusan Rang Undang-Undang Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 yang disifatkan sebagai langkah penting dalam membina industri padi yang lebih mampan dan berdaya tahan.
“Kerajaan negeri juga akan melaksanakan pendekatan baharu menerusi model Design, Build, Operate and Transfer (DBOT) bagi pembangunan padi komersial untuk menarik penyertaan sektor swasta serta mempercepat pelaksanaan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, model DBOT tersebut turut memberi ruang kepada syarikat swasta untuk memberi tumpuan terhadap operasi ladang secara lebih cekap melalui penggunaan mekanisasi moden serta peningkatan produktiviti pengeluaran.
Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 52 syarikat telah menyatakan minat untuk menyertai inisiatif berkenaan dan syarikat yang berjaya dijangka dilantik menjelang penghujung tahun ini.
Usaha berterusan kerajaan negeri itu diyakini mampu memperkukuh ekosistem agro makanan Sarawak sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan serta menjamin bekalan makanan yang lebih stabil dan mampan untuk rakyat. -EDISI UKAS