Sarawak Perkasa Industri Ternakan, Sasar Jadi Hab Eksport Makanan Serantau
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh sektor ternakan dan industri agro makanan sebagai langkah meningkatkan keselamatan makanan negeri serta mengurangkan defisit perdagangan makanan yang masih tinggi.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sebanyak RM43.7 juta diperuntukkan tahun ini bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan pengeluaran domestik daging lembu di Sarawak.
Menurut beliau, pembangunan baka ternakan kekal menjadi keutamaan dengan peruntukan RM18 juta bagi meningkatkan kualiti genetik serta produktiviti ternakan tempatan.
“Pelbagai stesen ternakan turut dinaik taraf bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kemudahan sedia ada.”
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambah beliau, pusat pembiakan dan penggemukan lembu milik SALCRA di Rimbas, Betong dan Stenggang, Bau dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.
Katanya, dua pusat baharu itu mampu menampung kapasiti keseluruhan sebanyak 500 ekor lembu dan meningkatkan kapasiti feedlot SALCRA daripada 300 ekor ketika ini kepada 800 ekor.
Dalam pada itu, Dato Sri Dr Stephen berkata Sarawak masih merekodkan defisit perdagangan makanan sebanyak RM6.64 bilion pada 2025 berbanding RM6.44 bilion pada tahun sebelumnya.
Malah, katanya, bagi suku pertama tahun ini sahaja, defisit perdagangan makanan negeri telah mencecah RM1.63 bilion sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh pengeluaran makanan domestik.
Sehubungan itu, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan komoditi makanan berorientasikan eksport seperti nanas, kelapa, sagu dan lada hitam yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, antara langkah utama yang akan dilaksanakan termasuk memperkukuh produktiviti pertanian menerusi model koperasi dan kluster, memperluas kawasan pertanian khusus seperti agropark dan taman pertanian moden serta memperkukuh kerjasama awam-swasta.
Selain itu, penggunaan teknologi pertanian pintar dan pemodenan sektor agro makanan turut dipercepat bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran serta daya saing industri.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Dr Stephen berkata Sarawak turut menyasarkan untuk muncul sebagai pengeksport utama industri babi di rantau ini menjelang 2030.
Katanya, kerajaan negeri menetapkan sasaran populasi ternakan babi sebanyak 500,000 ekor menerusi pembangunan kawasan penternakan babi di Pasir Puteh dan Selangau selain ladang moden di Ensengei.
“Pembangunan ini dijangka menghasilkan sebanyak 860,000 ekor babi setahun dengan nilai industri dianggarkan RM1.29 bilion,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan industri itu juga bakal merangsang pembangunan hiliran termasuk pemprosesan makanan bagi memenuhi pasaran domestik dan eksport.- EDISI UKAS