JBPM Sarawak Anjur Perhimpunan Bulanan Mei, UKAS Sri Aman Terima Sijil Penghargaan Media
SIMANGGANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak telah menganjurkan Program Perhimpunan Bulanan Mei 2026 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pada Rabu.
Program yang dirasmikan oleh Pengarah JBPM Negeri Sarawak, PKPjB Jamri Masran itu menyaksikan berlangsungnya upacara penyampaian Sijil Penghargaan Media, Sijil Hero Bomba dan Sijil Penubuhan Bomba Junior kepada penerima.
Upacara Sijil Penghargaan Media menyaksikan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sri Aman yang diwakili Juhara Jorni telah menerima sijil berkenaan sambil diikuti oleh Adi Safarman Jafar dari Utusan Sarawak dan Muhamad Nizam Luang dari TVS Betong.
Bagi Sijil Hero Bomba, penerima adalah Leding Uda dan Mattson Gusin dari Rumah Panjang Selepong Jinggau, Alvis Rio Kasin dari Rumah Panjang Tawang Tengah serta Suntong John dan Denster Nachang dari Rumah Panjang Batu Lintang.
Pasangan Leding dan Mattson menerima sijil terbabit setelah bertindak pantas memadam kebakaran akibat litar pintas dengan menggunakan alat pemadam api pada 4 Februari lepas dengan Alvis Rio pula menerima penghargaan itu atas tindakan pantasnya memadam kebakaran perkakasan dapur pada 7 Julai 2025.
Manakala pasangan Suntong serta Denster pula menerima sijil Hero Bomba berkenaan setelah bertindak berani memadam kebakaran di pintu kediaman nombor 21 di rumah panjang mereka pada 10 Disember tahun lepas.
Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Simanggang pula telah menerima Sijil Penubuhan Bomba Junior dan merupakan pasukan pertama yang ditubuh dalam Zon 3 JBPM Negeri Sarawak.
Penubuhannya bertujuan untuk membolehkan para murid menghayati serta mengamalkan ilmu kebombaan, memupuk budaya keselamatan, kesedaran bahaya kebakaran dan langkah-langkah pencegahan di peringkat awal dengan visi untuk menjadi pasukan beruniform berprestasi tinggi di peringkat sekolah. -EDISI UKAS