Gawai Ngiling Tikai Perkukuh Persefahaman Masyarakat Pelbagai Kaum
KUCHING: Perayaan Gawai Ngiling Tikai bukan sekadar acara kebudayaan masyarakat Dayak, malah berperanan sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan serta persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata Sarawak memiliki khazanah budaya yang kaya serta kepelbagaian etnik yang unik, dengan rakyat daripada pelbagai kaum telah sekian lama hidup dalam suasana harmoni, saling menghormati dan bersama-sama membentuk nilai masyarakat Sarawak yang istimewa.
Menurut beliau, Sarawak merupakan antara negeri yang paling majmuk di Malaysia dengan 34 kumpulan etnik yang masing-masing mempunyai bahasa, budaya, adat resam dan perayaan tersendiri yang menjadi kebanggaan rakyat negeri ini.
“Kita tidak kira sama ada Hari Gawai, Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Krismas atau perayaan etnik lain, kita dapat melihat rakyat daripada pelbagai kaum dan agama membuka rumah mereka untuk menerima kunjungan serta meraikan perayaan bersama.
“Semangat perpaduan dan toleransi inilah yang menjadi aset paling berharga bagi Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perayaan Gawai Ngiling Tikai yang diadakan di Kampung Sealine, pada Ahad.
Datuk Sebastian berkata keharmonian dan kestabilan sosial yang dinikmati Sarawak sejak sekian lama serta pengiktirafan sebagai contoh terbaik kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini adalah hasil daripada amalan saling menghormati, memahami dan bertolak ansur dalam kalangan rakyatnya.
Beliau turut menegaskan bahawa selain memelihara keharmonian antara kaum, Kerajaan Sarawak komited memperkasakan pembangunan pendidikan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta menyediakan masa depan yang lebih cerah kepada generasi muda.
Mengulas mengenai sambutan Gawai Ngiling Tikai, beliau berkata penganjuran program seumpama itu bukan sahaja memartabatkan warisan budaya masyarakat Dayak, malah menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Mari kita terus memelihara dan mewarisi budaya yang kaya daripada setiap etnik, sambil menampilkan semangat perpaduan, persahabatan dan keharmonian yang menjadi kebanggaan Sarawak.
“Dengan semangat bersatu hati, kita dapat membina masa depan yang lebih makmur dan sejahtera untuk generasi akan datang,” ujarnya.-EDISI UKAS