Rakyat Sarawak di Luar Negara Digesa Sumbang Kepakaran Perkukuh Agenda Pembangunan Negeri
BUDAPEST: Rakyat Sarawak yang menetap, belajar dan bekerja di luar negara menggalas peranan penting dalam menyokong pembangunan masa depan negeri melalui perkongsian ilmu, kepakaran serta pendedahan antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak amat menghargai sumbangan diaspora Sarawak di luar negara dan komited untuk memperkukuh jaringan serta penglibatan dengan mereka sejajar dengan hala tuju pembangunan negeri.
“Seiring Sarawak melangkah ke hadapan, kita berharap dapat memperkukuh hubungan dengan rakyat Sarawak di seluruh dunia. Pengetahuan, pengalaman dan pendedahan antarabangsa yang dimiliki mampu memberi sumbangan besar kepada perjalanan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pertemuan bersama komuniti Sarawak di Hungary yang dianjurkan oleh Embassy of Malaysia in Budapest sempena lawatan rasmi delegasi Kerajaan Sarawak ke Hungary dan Austria.
Menurut beliau, Sarawak kini semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi usaha dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, pembangunan mampan serta transformasi ekonomi di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa rakyat Sarawak di luar negara turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh reputasi negeri melalui pencapaian masing-masing.
“Setiap daripada anda merupakan duta kecil Sarawak. Kejayaan dan sumbangan anda membantu memperkukuh imej negeri di persada antarabangsa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kedutaan Malaysia di Budapest atas sokongan dalam melancarkan program serta penglibatan delegasi sepanjang lawatan tersebut.
Katanya, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kehadiran Malaysia di peringkat global.
Sepanjang lawatan itu, delegasi Sarawak dijadual mengadakan sesi libat urus bersama agensi kerajaan, pihak berkuasa bandar, institusi perancangan serta organisasi industri di Hungary dan Austria bagi bertukar pandangan serta amalan terbaik dalam bidang perancangan bandar pintar, pembangunan ekonomi sempadan, keterhubungan logistik, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan bandar mampan.
Tambah beliau, hasil perkongsian ilmu sepanjang lawatan tersebut akan dimanfaatkan dalam penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035 serta pembangunan Koridor Pertumbuhan Utara.
“Matlamat kita jelas, iaitu untuk belajar dan berkongsi idea. Kerjasama serta perkongsian pengetahuan amat penting dalam membina penyelesaian inovatif dan menjamin pertumbuhan mampan untuk generasi akan datang,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu turut memuji semangat perpaduan komuniti Sarawak di Hungary yang sentiasa saling membantu, khususnya dalam menyokong rakyat Sarawak yang baharu tiba untuk melanjutkan pengajian atau bekerja di negara berkenaan.-EDISI UKAS