STEM Catalysts 2026 Perkukuh Literasi STEM, Hubungkan Pelajar Dengan Ekosistem Teknologi Masa Depan
SIBURAN: Program STEM Catalysts 2026 terus menjadi platform penting dalam memperkukuh literasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, Kerajaan Sarawak kekal komited dalam melahirkan generasi muda yang celik STEM serta bersedia menghadapi cabaran teknologi masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu menjelaskan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian mencatat penyertaan terbesar setakat ini dalam siri STEM Catalysts 2026 dengan penglibatan 15 buah sekolah dan lebih 500 pelajar.
“Tema tahun ini, Accelerating STEM Innovations through ICT, menampilkan sinergi antara STEM dan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT) dalam menghasilkan penyelesaian inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam majlis Sambutan Grand Celebration siri kesembilan daripada 14 jelajah yang dirancang tahun ini berlangsung di SMK Padawan, pada Isnin.
Beliau turut menggalakkan para pelajar dan guru untuk meneroka pelbagai pameran interaktif yang disediakan, termasuk pameran satelit Orbit Bumi Rendah (LEO) yang menerangkan bagaimana satelit menggunakan medan magnet bumi untuk mengekalkan orientasi dan kestabilannya di angkasa lepas.
Menurutnya, program STEM Catalysts yang diperkenalkan tiga tahun lalu kini telah berkembang daripada sebuah inisiatif jangkauan pendidikan kepada platform yang berfungsi sebagai “infrastruktur lembut” dalam menghubungkan pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, dengan ekosistem STEM yang lebih luas.
“Pendidikan bukan hanya berkaitan kemudahan fizikal seperti sekolah dan makmal sains, tetapi juga akses kepada aplikasi pembelajaran, pengiktirafan pencapaian, peluang kerjaya masa depan serta bimbingan daripada universiti dan industri,” katanya.
Beliau menambah, usaha membangunkan bakat STEM tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama strategik melibatkan universiti, kolej teknikal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengalu-alukan penyertaan Persatuan Kebajikan Rolf Schynder sebagai Rakan Strategik Utama dalam pendidikan pengekodan dan kecerdasan buatan (AI), selain Pandai Education sebagai Rakan Strategik Utama bagi platform pembelajaran dalam talian.
Selain itu, STEM Catalysts 2026 turut mendapat sokongan daripada beberapa syarikat swasta termasuk Sarawak Timber Association, SOCOE, Sarawak Energy, T&J Engineering, SMD Sarawak dan Press Metal Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Roland Sagah mengumumkan bahawa Sarawak Science Centre dijadual dibuka secara rasmi pada 29 Julai 2026.
Menurut beliau, pusat tersebut melambangkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperluaskan budaya sains, teknologi dan inovasi serta membangunkan masyarakat yang celik STEM di seluruh negeri.
Beliau turut memperkenalkan Catalysts Teacher Award, iaitu anugerah baharu yang diwujudkan bagi mengiktiraf guru-guru yang berjaya meningkatkan penguasaan STEM serta kemahiran literasi digital dan pengekodan dalam kalangan murid.
Menyentuh keberkesanan program STEM, beliau berkata bukti daripada penilaian antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA), data penilaian UPDLP 2025 serta pencapaian sekolah yang mempunyai kelab STEM atau ICT menunjukkan bahawa penglibatan aktif dalam pembelajaran dalam talian, pertandingan dan aktiviti STEM memberi impak positif terhadap prestasi akademik pelajar.
“Bukti jelas menunjukkan bahawa penglibatan dalam STEM berkesan. STEM Catalysts bukan sekadar sebuah program, tetapi sebuah platform yang menghubungkan, memperkasa dan menyokong usaha kolektif kita dalam membina masyarakat yang celik STEM demi masa depan Sarawak,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee, Ketua Pegawai Sumber Manusia Sarawak Skills merangkap Pengerusi Bersama STEM Catalysts 2026, Amy Francis Najur, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Hafizuddin Abdullah, Pengetua SMK Padawan, Milton Junde serta Ketua Bahagian Inovasi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr. Cheong Yaw Liang.-EDISI UKAS