Sarawak Kaji Kaedah Pengeluaran Padi Tanpa Perlu Tanam Semula
KUCHING: Sarawak sedang mengkaji kaedah pengeluaran padi baharu tanpa memerlukan penanaman semula benih padi di Miri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sektor swasta kini mengusahakan kajian tersebut yang menggunakan dana sendiri namun kerajaan masih menunggu hasil bagi melihat kejayaan pengeluaran padi.
"Kita melihat dulu bagaimana hasil kajian ini berjaya atau tidak sebab padi ini menggunakan benih Parennial di mana kalau ia ditanam, ia tidak perlu ditanam semula dan akan sentiasa berbuah daripada benih asal.
"Sama ada benar atau tidak, kita cuba sahaja," katanya ketika berucap dalam Majlis Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers Night di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Rabu.
Ujarnya, benih padi ini dibangunkan oleh Universiti Yunnan di mana beliau berkesempatan bertemu dengan seorang professor yang merupakan anak murid kepada menghasilkan benih baru di Filipina.
Katanya, kejayaan kajian ini akan menambahkan pengeluaran beras yang akan menjadi penting untuk sekuriti makanan terutamanya persiapan pada masa hadapan Sarawak.
Dalam perkembangan sama, Premier Sarawak menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas kesepakatan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi Dan Beras Sarawak yang penting untuk sekuriti makanan di negeri ini.
Jelasnya, ini amat penting terutamanya mengelakkan kebergantungan penuh terhadap beras import negara-negara lain.
"Sekarang Thailand mengurangkan eksport (beras) dan bergantung kepada Kemboja tapi Kemboja menggunakan pertanian cara lama yang kini terjejas disebabkan oleh masalah iklim sekali gus menjejaskan pengeluaran padi," jelas beliau.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan merangkap Pengerusi Pengelola Majlis GPS Backbencher Datuk Hamzah Brahim, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS