Penjenamaan semula KCF perkukuh identiti festival lebih inklusif
KAPIT: Penjenamaan semula Kapit Dayak Cultural Festival (KDCF) kepada Kapit Cultural Festival (KCF) dicadangkan sebagai langkah memperkukuh identiti festival tersebut agar lebih inklusif dan mampu mencerminkan penyertaan masyarakat yang lebih menyeluruh.
Pegawai Daerah Kapit, Thomas Geoffrey Kendawang berkata perubahan nama itu bertujuan memperluaskan skop festival supaya tidak lagi dilihat terhad kepada kelompok tertentu, sebaliknya menjadi platform kebudayaan yang meraikan kepelbagaian budaya masyarakat di Kapit.
Menurut beliau, penganjuran KCF 2026 menampilkan lapan acara utama yang disusun bagi mengangkat keunikan budaya tempatan, dengan Niti Daun Kapit Cultural Festival menjadi antara acara tonggak melibatkan penyertaan 27 kontinjen.
Beliau berkata, festival tersebut bukan sekadar platform hiburan, malah berperanan memperkukuh usaha pemeliharaan dan penghayatan budaya dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
“Pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform mempamerkan bakat, malah memainkan peranan penting dalam mengekalkan kelangsungan warisan budaya tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Pertandingan Bepantun sempena 2026 yang berlangsung di Kapit Town Square pada Selasa.
Program anjuran Pejabat Daerah Kapit itu merupakan antara pengisian utama KCF 2026 yang berlangsung dari 17 hingga 24 Mei dan berjaya menarik kehadiran orang ramai bagi menyaksikan persembahan budaya yang mengetengahkan keunikan warisan masyarakat tempatan khususnya komuniti Iban.
Pertandingan tersebut menyaksikan seramai lapan peserta mengambil bahagian dengan mempersembahkan pelbagai genre pantun tradisional termasuk pantun sebana, pantun sayau dan pantun pemansang menua melibatkan kategori umur serta jantina berbeza.
Sementara itu, Penghulu Madang Jelani memuji keberanian peserta khususnya golongan muda yang tampil menunjukkan bakat serta minat terhadap seni berpantun yang menjadi antara khazanah budaya masyarakat tempatan.
Pemenang tempat pertama membawa pulang wang tunai RM400 berserta trofi dan cek cura, manakala naib juara menerima RM300 berserta trofi dan cek cura, sementara tempat ketiga menerima RM200 bersama trofi dan cek cura.
Peserta lain turut menerima hadiah sagu hati sebanyak RM100.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Kapit, Cr. Martin Bikun serta tetamu lain.-EDISI UKAS