‘Waste To Bags’ MPP 2026 Galak Amalan Kitar Semula Dalam Komuniti
PADAWAN: Program ‘Waste to Bags’ MPP 2026 yang memberi fokus kepada amalan kitar semula kreatif dan pengurangan sisa domestik melalui pendekatan inovatif menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan komuniti.
Program yang berlangsung pada Rabu itu menghimpunkan penduduk sekitar Padawan untuk mempelajari teknik menukar bahan terpakai, khususnya seluar jeans lama, kepada beg baharu yang praktikal serta berpotensi mempunyai nilai komersial.
Melalui pendekatan upcycling kreatif tersebut, peserta bukan sahaja didedahkan kepada kemahiran jahitan dan penghasilan produk mesra alam, malah turut dipupuk dengan kesedaran mengenai kepentingan penggunaan secara bertanggungjawab dan pengurusan sisa yang mampan.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MPP dalam memperkenalkan pendekatan lebih praktikal dan kreatif bagi mengurus bahan terpakai di samping memperkukuh budaya kelestarian alam sekitar dalam komuniti setempat.
Menurut beliau, program seperti ‘Waste to Bags’ bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah membuka peluang kepada masyarakat mempelajari kemahiran baharu yang berpotensi menjana pendapatan tambahan melalui penghasilan produk kraftangan.
“Program ini juga membuktikan bahawa bahan terpakai yang sering dianggap tidak bernilai sebenarnya boleh diubah menjadi produk berguna dan mempunyai nilai ekonomi,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian program tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa program itu selaras dengan agenda pembangunan mampan serta menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk SDG 8 iaitu Pekerjaan Yang Layak dan Pertumbuhan Ekonomi, SDG 11 Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 12 Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, SDG 13 Tindakan Iklim serta SDG 17 Perkongsian Demi Matlamat.
Sepanjang program berlangsung, para peserta turut digalakkan mengamalkan prinsip 5R iaitu Refuse (Menolak), Reduce (Mengurangkan), Reuse (Mengguna Semula), Repurpose (Mengubah Guna) dan Recycle (Mengitar Semula) sebagai usaha bersama membentuk komuniti yang lebih lestari, bertanggungjawab dan mesra alam.
Sehubungan itu, Tan berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan, khususnya sekiranya produk yang dihasilkan mendapat sambutan dan mempunyai potensi pasaran dalam kalangan masyarakat setempat. -EDISI UKAS