KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kini semakin dekat.
Meskipun tidak memberi bayangan bila tarikh sebenar, namun beliau menegaskan tempoh untuk melaksanakan PRN masih berbaki sehingga Februari tahun hadapan.
"Saya pun tidak tahu bila pilihan raya namun yang saya tahu yang tempoh kita (kerajaan) sehingga bulan dua, tapi dekat nak ada sebenarnya, dekat nak ada tapi saya belum tahu bila ‘beduk berbunyi’," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers Night di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Rabu.
Premier Sarawak turut menzahirkan kebimbangan terhadap suasana politik di Semenanjung Malaysia yang berpecah belah hingga boleh menggugat kestabilan negara sekali gus menimbulkan masalah.
Justeru beliau menyeru Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar terus bersatu dalam menolak budaya berpecah-belah serta terus gigih memelihara kebajikan rakyat.
"Sebab itu, Kerajaan GPS amat penting menjadi benteng untuk kita mempertahankan Sarawak," jelas beliau. -EDISI UKAS