![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Menjadi guru bukan sekadar hadir ke sekolah, masuk ke kelas dan menghabiskan silibus. Menjadi guru adalah tentang jiwa. Tentang amanah. Tentang pengorbanan yang kadang-kadang tidak terlihat di mata manusia, tetapi besar nilainya di sisi Tuhan dan masyarakat. Sebab itulah tema Hari Guru 2026, “Guru Bitara Nadi Negara”, begitu dekat dengan hakikat sebenar profesion perguruan.
Setiap kali lagu Guru Malaysia berkumandang, ada satu bahagian lirik yang cukup membakar semangat para pendidik iaitu amanah yang diberi, kami tak persiakan… Apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan.
Ia bukan sekadar nyanyian lagu rasmi. Ia adalah satu manifestasi iaitu janji. Janji seorang guru untuk terus berdiri mendidik walau penat, walau diuji, walau kadang-kadang jasa tidak dihargai.
Guru bitara bukan diukur pada pangkat atau populariti. Guru bitara ialah guru yang hadir dengan jiwa penuh ikhlas dan ihsan. Guru yang melihat setiap anak murid bukan sekadar nombor di dalam kelas, tetapi insan yang perlu dibimbing menjadi manusia berguna untuk negara.
Hari ini, dunia pendidikan semakin mencabar. Guru bukan sahaja mengajar membaca dan mengira, tetapi turut menjadi pendengar, penasihat, motivator malah kadang-kadang menjadi pengganti mak dan ayah kepada murid-murid. Ada murid datang ke sekolah membawa masalah keluarga. Ada yang kehilangan arah. Ada yang dahagakan perhatian dan kasih sayang. Di sinilah besarnya peranan seorang guru sebagai nadi negara.
Dalam konteks Sarawak pula, peranan guru menjadi semakin besar selari dengan aspirasi Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg selaku Premier Sarawak sangat memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan bagi mewarisi kemajuan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.
Pembangunan sesebuah negeri bukan hanya bergantung kepada bangunan pencakar langit, teknologi atau ekonomi semata-mata, tetapi bergantung kepada manusia yang dibentuk dengan ilmu, nilai dan jati diri yang kukuh. Yang Amat Berhormat Premier Sarawak begitu perihatin terhadap kemudahan fasiliti sekolah yang melibatkan kesejahteraan guru seperti baik pulih kuarters penginapan di sekolah pedalaman.
Namun dalam dunia media sosial yang penuh emosi dan tekanan, ada segelintir pihak mula mempersoalkan tugas guru. Ada yang merasakan kerja guru hanya mengajar semata-mata. Mengangkat meja, membersihkan kelas, mengurus program sekolah atau membantu tugasan lain dianggap bukan sebahagian daripada profesion perguruan.
Hakikatnya, seorang guru sejati tidak berkira soal kerja apabila melibatkan kebajikan murid dan sekolah.
Kalau setakat menyusun kerusi demi keselesaan pelajar, mengapa perlu merungut? Kalau setakat membantu menceriakan kelas agar murid belajar dalam suasana kondusif, bukankah itu juga sebahagian daripada pendidikan? Pendidikan bukan hanya berlaku melalui buku teks, tetapi melalui contoh dan teladan. Itulah nilai ihsan. Guru yang ikhlas akan sentiasa mencari jalan membantu murid walaupun kadang-kadang dirinya sendiri sedang penat dan terbeban.
Di Sabah dan Sarawak, pengorbanan guru lebih luar biasa. Ada yang meredah sungai, mendaki bukit dan melalui jalan balak semata-mata mahu sampai ke sekolah pedalaman. Ada yang menjadi tukang kayu membaiki asrama, membantu membina kemudahan sekolah dan mengurus generator elektrik demi keselesaan murid. Semua itu bukan untuk dipuji, tetapi kerana mereka memahami bahawa tugas seorang guru jauh lebih besar daripada sekadar mengajar di papan putih.
Guru bitara ialah guru yang tetap tersenyum walaupun penat.
Guru bitara ialah guru yang tetap sabar walaupun diuji kerenah murid dan tekanan kerja.
Guru bitara ialah guru yang percaya bahawa setiap anak mempunyai potensi untuk berjaya.
Kita mungkin bukan guru yang sempurna. Ada hari kita lelah. Ada waktu kita kecewa. Tetapi selagi hati kita masih ikhlas mendidik, selagi itulah profesion ini akan terus mulia.
Sempena Hari Guru 2026 ini, marilah kita mengangkat kembali roh pendidikan yang sebenar. Jadilah guru yang mendidik dengan hati, bukan sekadar memenuhi tanggungjawab. Kerana seorang guru bukan hanya mengubah keputusan peperiksaan, tetapi mampu mengubah kehidupan manusia.
Terima kasih buat semua guru di seluruh Malaysia. Cikgu-cikgu bukan sekadar pendidik di bilik darjah, tetapi cikgu adalah nadi yang menggerakkan masa depan negara.
Selamat Hari Guru 2026. Terima kasih cikgu.
“Guru Bitara, Nadi Negara.”