Program Sarawakku Sayang Satukan Komuniti Pelbagai Kaum Di Bintulu
BINTULU: Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Bintulu terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat apabila ribuan pengunjung pelbagai kaum membanjiri tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu bagi memeriahkan penganjuran Malam Budaya Sarawak.
Program anjuran Kerajaan Sarawak itu berjaya menghimpunkan masyarakat berbilang etnik dalam suasana penuh harmoni menerusi pelbagai pengisian berteraskan seni, budaya dan hiburan yang mencerminkan identiti unik Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata kekuatan utama Sarawak bukan sahaja terletak pada kekayaan sumber alam semula jadi, malah pada semangat perpaduan, persefahaman dan keharmonian rakyat berbilang kaum.
Menurut beliau, budaya memainkan peranan penting sebagai identiti sesuatu bangsa selain menjadi medium yang mampu menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
“Melalui aktiviti kebudayaan dan penglibatan bersama dalam program seperti ini, masyarakat khususnya generasi muda dapat mengenali budaya sendiri serta memahami dan menghormati tradisi kaum lain,” katanya ketika ditemui media pada program tersebut, pada Sabtu.
Tambahnya lagi, Program Sarawakku Sayang bukan sekadar acara hiburan semata-mata, sebaliknya platform untuk memperkukuh perpaduan dan menyemai semangat cintakan negeri dalam kalangan rakyat.
Kemuncak acara menyaksikan persembahan tarian tradisional daripada pelbagai etnik di Sarawak termasuk Iban, Kenyah, Kedayan, Penan, Vaie dan Cina yang berjaya memukau pengunjung.
Persembahan kebudayaan tersebut bukan sahaja mengetengahkan keunikan warisan setiap kaum, malah memperlihatkan semangat kebersamaan dan keharmonian masyarakat yang menjadi kekuatan utama Sarawak.
Program itu turut melibatkan kerjasama antara kumpulan dan persatuan kebudayaan tempatan bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta Majlis Seni Sarawak dalam usaha memperkasa dan memartabatkan seni budaya tempatan.
Suasana malam bertambah meriah dengan persembahan artis tempatan dan muzik bertenaga antaranya Mawat, Pablo Band, Karen Libau, Daniel Leong, Nurul Nesha, Dyanne Osheild, Ho Kah Sin serta DJ Sonic yang berjaya menghiburkan ribuan pengunjung.
Penganjuran Malam Budaya Sarawak itu sekali lagi membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memelihara khazanah seni dan budaya tempatan selain memperkukuh semangat perpaduan serta kebersamaan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Julin Alen, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Dr Suffian Jalet serta Ketua Bahagian Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Wan Jamaluddin Wan Abdul Wahap.-EDISI UKAS