KPDN Negeri Sarawak Perkukuh Pemahaman Pemegang Taruh Dan Golongan Layak Tentang SKDS
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sarawak berusaha memperkukuhkan pemahaman pemegang taruh mengenai pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di negeri ini.
Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin dalam kenyataan media berkata, menerusi sesi libat urus dan kaunter pendaftaran SKDS yang telah diadakan di Sri Aman dan Miri, pihaknya juga berusaha membantu golongan yang layak mendapatkan akses kepada diesel bersubsidi melalui SKDS yang lebih tersusun, telus dan berkesan.
“Sehingga 14 Jun 2026, prestasi pendaftaran SKDS di Negeri Sarawak menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan dengan jumlah 3,869 syarikat dan 14,447 kenderaan telah berjaya berdaftar di bawah sistem tersebut.
“Pencapaian ini mencerminkan tahap kesedaran dan komitmen yang tinggi dalam kalangan pemain industri terhadap pelaksanaan mekanisme penyasaran subsidi diesel yang lebih berkesan dan tersusun,” katanya pada Selasa.
Dalam sesi libat urus dan kaunter pendaftaran SKDS itu, pegawai KPDN Negeri Sarawak telah memberikan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan SKDS serta menjawab pelbagai isu dan pertanyaan yang dibangkitkan oleh peserta, khususnya berkaitan syarat kelayakan, proses permohonan, pengurusan kuota diesel bersubsidi dan pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa.
Turut diterangkan secara terperinci objektif sistem, tatacara pendaftaran, pengurusan kuota serta tanggungjawab pemegang kad fleet dalam memastikan penggunaan diesel bersubsidi mematuhi ketetapan kerajaan.
Tambah Matthew lagi, selepas Sri Aman dan Miri, KPDN Negeri Sarawak sesi libat urus dan kaunter pendaftaran SKDS akan diteruskan di seluruh Sarawak.
“Selepas ini, ia akan diadakan di Wisma Persekutuan, Blok 3, Sibu pada 18 Jun 2026, Stesen Minyak Shell Teo Chiok Sia & Sons, Limbang dan Top Key Sdn Bhd (Shell), Jalan Kindurong, Bintulu pada 19 Jun 2026 bagi memastikan lebih ramai syarikat dan pengguna yang layak dapat menyertai SKDS.
“Inisiatif ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk memastikan subsidi diesel disalurkan secara bersasar kepada golongan yang benar-benar layak, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan subsidi negara dan mengurangkan ketirisan,” tambahnya.
Permohonan SKDS boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi MySubsidi KPDN (https://mysubsidi.kpdn.gov.my/) di mana pemilik syarikat atau wakil perlu mendaftar akaun, mengisi maklumat perniagaan, menyenaraikan kenderaan yang layak, dan memuat naik dokumen sokongan untuk kelulusan sebelum memohon kad armada (fleet card) dan boleh menghubungi nombor telefon semua pejabat KPDN Sarawak. -EDISI UKAS