Batu Kawa Dijangka Miliki Pusat Membeli-Belah Berskala Besar Menjelang 2030
KUCHING: Kawasan Batu Kawa dijangka memiliki sebuah pusat membeli-belah berskala besar menjelang tahun 2030 sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan yang akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara kawasan pertumbuhan utama di Bahagian Kuching.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, perancangan tersebut merupakan antara inisiatif strategik untuk menjadikan Batu Kawa sebuah kawasan yang maju dan makmur dengan kemudahan moden serta pembangunan yang lebih tersusun.
Menurut beliau, pembangunan pusat komersial berskala besar itu akan melengkapkan ekosistem pembangunan sedia ada selain meningkatkan nilai ekonomi dan daya tarikan kawasan berkenaan.
“Kalau kita rancang dengan baik dan mendapat sokongan semua pihak, Batu Kawa boleh ada pusat membeli-belah besar seperti Vivacity menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Rumah Terbuka Ketua Masyarakat dan Tuai Rumah Zon Batu Kawa di Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho Quarry, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah menambah, kejayaan merealisasikan perancangan tersebut memerlukan kestabilan, perpaduan dan sokongan berterusan rakyat terhadap agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
Tambah beliau, perkembangan pesat Batu Kawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk peningkatan nilai hartanah dan pertumbuhan kawasan komersial, menunjukkan kawasan tersebut berada pada landasan yang tepat untuk berkembang sebagai sebuah bandar moden.
Menurutnya, pembangunan yang dirancang bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk setempat, malah berpotensi menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan peluang ekonomi baharu pada masa hadapan.
Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Cr. Tan Kai, Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta tetamu lain.-EDISI UKAS