16 Jambatan Bernilai Hampir RM6 Bilion Perkukuh Kesalinghubungan & Pembangunan Sarawak
BINTANGOR: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh rangkaian perhubungan negeri menerusi pelaksanaan 16 projek jambatan utama bernilai hampir RM6 bilion yang dijangka menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi serta meningkatkan mobiliti rakyat di seluruh negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih moden, cekap dan selamat untuk rakyat.
Menurut beliau, pembinaan jambatan tersebut memberi tumpuan kepada kawasan pesisir pantai, luar bandar serta lokasi yang sebelum ini bergantung kepada perkhidmatan feri sebagai penghubung utama.
“Pembinaan jambatan-jambatan ini akan memberi impak besar kepada kehidupan rakyat kerana ia dapat memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan hubungan antara kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ngiling Bidai di Rumah James, Muara Bunut, Bintangor pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, antara projek yang bakal memberi manfaat besar kepada penduduk ialah Jambatan Batang Paloh yang akan menghubungkan Pulau Bruit dengan tanah besar.
Menurutnya, projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti penduduk, malah memudahkan urusan ekonomi, pendidikan serta perkhidmatan kesihatan.
"Jambatan Batang Paloh yang dijangka siap sepenuhnya sekitar September atau Oktober tahun ini bakal membuka lebih banyak peluang pembangunan dan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
“Pembangunan infrastruktur merupakan pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat kepada generasi masa kini dan akan datang.
“Apabila rangkaian perhubungan bertambah baik, lebih banyak peluang pembangunan dapat diwujudkan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh,” katanya.-EDISI UKAS