Keperluan Rakyat Terus Diberi Perhatian, Pelbagai Pembangunan Dilaksana Berperingkat
BINTANGOR: Kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap keperluan dan permintaan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop menerusi pelaksanaan pembangunan secara berperingkat bagi memastikan kesejahteraan penduduk terus dipertingkatkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, komitmen tersebut diterjemahkan melalui pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan, khususnya melibatkan kemudahan asas, infrastruktur dan perkhidmatan awam di kawasan luar bandar serta pesisir pantai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menjelaskan, kawasan Semop yang merangkumi kira-kira 50 rumah panjang dengan lebih 863 pintu memerlukan perancangan pembangunan yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin berkembang.
“Kerajaan sentiasa berusaha menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat dan memastikan setiap projek yang dirancang dapat memberi manfaat secara langsung kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Ngiling Bidai di Rumah James, Muara Bunut, pada Rabu.
Datuk Abdullah menambah, pelaksanaan pembangunan di kawasan berkenaan melibatkan pelbagai aspek termasuk penyediaan infrastruktur, kemudahan awam dan peningkatan akses kepada perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat.
Jelasnya, usaha tersebut bukan sahaja meningkatkan taraf hidup penduduk, malah berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
“Penyediaan infrastruktur yang lebih baik akan memudahkan pergerakan penduduk serta menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti pembangunan di kawasan ini.
“Matlamat utama kita adalah untuk memastikan rakyat menikmati kemudahan yang lebih baik serta memperoleh manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus menilai keperluan semasa rakyat bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan memberi impak positif dan manfaat jangka panjang kepada penduduk.
Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab, pemimpin masyarakat serta penduduk setempat.-EDISI UKAS