Penyediaan Prasarana Kemudahan Asas Pendidikan Lengkap Jadi Keutamaan
LIMBANG: Penyediaan prasarana dan kemudahan asas pendidikan yang lengkap menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan anak-anak di Limbang mendapat suasana pendidikan yang terbaik.
Usaha tersebut juga penting bagi memastikan murid di kawasan bandar dan luar bandar dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, kondusif dan berkualiti.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kemajuan dari segi aksesibiliti serta kemudahan asas kini membuktikan bahawa Limbang bukan lagi kawasan pedalaman seperti dahulu.
“Itu tugas kita. Kita mesti beri persekitaran yang terbaik kepada anak-anak kita di Limbang. Rasanya Limbang ini bukan lagi pedalaman sangat kerana aksesibiliti sudah ada,” katanya semasa berucap pada Lawatan dan Perjumpaan Bersama Pegawai Pendidikan Daerah Limbang pada Jumaat.
Beliau menjelaskan bahawa peningkatan aksesibiliti telah membuka lebih banyak peluang pembangunan serta memudahkan penyampaian kepada masyarakat setempat, termasuk dalam sektor pendidikan.
“Kita juga perlu melihat kemudahan asas seperti elektrik dan telekomunikasi. Mungkin sekolah-sekolah kita sudah mempunyai capaian tersebut. Itu satu perkembangan yang baik. Jadi, tidak ada alasan lagi untuk kita mengatakan kawasan luar bandar kekurangan fasiliti,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa cek berjumlah RM70,000 akan diserahkan bagi menyokong kecemerlangan pendidikan di daerah ini.
Beliau berharap prestasi pendidikan akan terus meningkat bagi tahun 2026 dan yakin kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti mampu menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih cemerlang.
Usaha berterusan semua pihak amat penting dalam melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing dan berkualiti.
Tambah beliau, cabaran seterusnya adalah untuk menarik minat pelajar menceburi bidang TVET serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejajar dengan keperluan masa depan.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Siti Mariam Salleh, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Sektor Perancangan Suraya Habibollah, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Sektor Pengurusan Sekolah Nooraizah Junaidi, Pemangku Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Sektor Pembelajaran Rosita Rosli, wakil Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Sektor Pembangunan Murid Awang Zainalabidin Usop, Kaunselor Pendidikan Daerah Wardah Wydia Jim Abdullah dan Ketua Sektor Pengurusan Rosniza Sapar.-EDISI UKAS