AirBorneo Perlu Diberi Ruang Perkukuh Peranan Dalam Industri Penerbangan
KUCHING: Syarikat penerbangan AirBorneo perlu diberi ruang dan masa yang mencukupi untuk terus berkembang sebagai pemain penting dalam industri penerbangan serantau selaras dengan peranannya dalam memperkukuh hubungan udara serta merancakkan sektor pelancongan negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, AirBorneo yang baru memulakan operasi tahun ini masih berada pada fasa awal pembangunan dan sedang membina keupayaan operasinya secara berperingkat.
Menurut beliau, setiap syarikat penerbangan mempunyai proses pertumbuhan tersendiri sebelum mampu berkembang ke pasaran lebih luas dan bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kita berharap AirBorneo akan terus berkembang dan suatu hari nanti mampu berdiri setanding dengan syarikat penerbangan besar lain di rantau ini.
“Namun masyarakat perlu memahami bahawa AirBorneo baru memulakan operasi tahun ini dengan armada yang masih kecil dan sedang melalui proses pembangunan secara berperingkat,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Beliau menambah, usaha memperluaskan rangkaian penerbangan ke destinasi antarabangsa seperti Bangkok, Hong Kong, Jakarta dan bandar utama lain memerlukan pelbagai kelulusan daripada pihak berkuasa penerbangan serta pengendali lapangan terbang antarabangsa.
Menurutnya, proses tersebut memerlukan masa serta kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan setiap laluan baharu dapat diwujudkan secara teratur dan memenuhi semua keperluan operasi serta keselamatan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan layanan yang adil dan seimbang terhadap semua syarikat penerbangan yang beroperasi di negara ini.
Katanya, sebarang tindakan berkaitan pematuhan operasi atau isu melibatkan syarikat penerbangan perlu dilaksanakan secara saksama tanpa mengira saiz atau kedudukan syarikat berkenaan.
“Jika terdapat pelanggaran prosedur atau isu operasi, semua syarikat penerbangan perlu dinilai berdasarkan standard yang sama.
“Kita mahu melihat layanan yang adil kepada semua pemain industri supaya syarikat yang sedang berkembang seperti AirBorneo dapat terus membina keupayaan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada penumpang,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak akan terus menyokong pembangunan AirBorneo sebagai inisiatif strategik negeri dalam meningkatkan akses penerbangan, memperkukuh jaringan perhubungan udara, merangsang pertumbuhan sektor pelancongan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk Sarawak pada masa hadapan.-EDISI UKAS