DAC Tebedu Perhalusi Isu Air, Elektrik & Internet Demi Kesejahteraan Rakyat
TEBEDU: Isu bekalan air, elektrik dan capaian internet di kawasan luar bandar menjadi antara fokus utama Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (DAC) Tebedu yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada.
Mesyuarat pada Isnin tersebut turut membincangkan isu gangguan bekalan air terawat yang dihadapi penduduk Kampung Pichin dan Plaman Nyabet, selain meneliti langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan kemudahan asas di kawasan berkenaan dapat dipertingkatkan.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah wakil daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Dalam ucapannya, Dr Simon menegaskan bahawa beliau sentiasa mengambil berat terhadap isu yang memberi kesan kepada masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan DUN N.21 Tebedu.
Menurut beliau, setiap aduan dan permasalahan yang dibangkitkan rakyat perlu diberikan perhatian sewajarnya serta ditangani secara proaktif oleh agensi yang bertanggungjawab.
“Isu yang dihadapi rakyat juga merupakan isu saya. Oleh itu, setiap permasalahan yang dibangkitkan perlu diberi perhatian dan tindakan segera oleh agensi berkaitan,” katanya.
Beliau menambah, agensi berkaitan bukan sahaja perlu menangani gangguan bekalan air, elektrik dan capaian internet yang berlaku dari semasa ke semasa, malah perlu merangka pelan tindakan yang komprehensif bagi jangka pendek dan jangka panjang untuk mengurangkan risiko berulangnya masalah yang sama pada masa hadapan.
“Sebagai wakil rakyat, setiap isu yang berlaku di kawasan memberi impak secara langsung kepada kesejahteraan penduduk. Justeru, tindakan yang cekap dan berkesan daripada agensi berkaitan amat penting bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Mengenai isu gangguan bekalan air di Kampung Pichin, JBALB memaklumkan bahawa pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah tersebut dalam kadar segera.
Menurut JBALB, pihaknya komited memastikan gangguan atau ketiadaan bekalan air tidak berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk.
Bagi pelan jangka panjang, JBALB merancang menggantikan saluran paip sedia ada dengan paip baharu yang berkapasiti lebih besar selewat-lewatnya pada tahun 2027 dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta.
Cadangan penggantian paip tersebut turut melibatkan kawasan Baki, Serian, Tebakang dan Krusen Siu dengan anggaran kos sebanyak RM2.3 juta. Selain itu, projek berkaitan di kawasan Bukar, Serian dianggarkan menelan kos RM6.5 juta.
Dr Simon berharap kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan semua pihak berkepentingan dapat terus diperkukuh bagi memastikan setiap isu yang dihadapi rakyat di kawasan Tebedu dapat ditangani secara berkesan, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan serta pembangunan mampan masyarakat luar bandar.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap, Pegawai Tadbir, Mohd Faiz Rusdy Bolhassan, Jurutera Daerah JBALB Serian, Jill Jackson, wakil SKMM, Scott Kueh, wakil SEB Serian, Solomon serta Pemanca Kane Manung.-EDISI UKAS