Kemajuan, Pembangunan Di Betong Terus Dinikmati Rakyat
BETONG: Pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak terus membawa perubahan positif kepada masyarakat di Bahagian Betong dengan manfaatnya kini semakin dirasai oleh penduduk setempat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, masyarakat di Betong perlu bersyukur kerana pembangunan yang dirancang kerajaan negeri terus membawa manfaat kepada rakyat dari semasa ke semasa.
"Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) memainkan peranan penting bagi memacu kemajuan serta pembangunan infrastruktur di Bahagian Betong daripada pelbagai aspek serta secara menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Malam Pra Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong Tahun 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Gerald turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan negeri di Betong atas komitmen menganjurkan pelbagai program sepanjang tahun demi kemajuan dan pembangunan di bahagian ini.
Beliau berharap kerjasama erat antara agensi kerajaan dapat terus diperkukuhkan dalam usaha memelihara kemajuan dan kesejahteraan Bahagian Betong.
Dalam majlis tersebut, turut dipaparkan Video Montaj Gawai Dayak Tikas Menua Betong Taun 2026 yang memaparkan projek-projek pembangunan yang bakal dan telah dilaksanakan di Betong seperti pembinaan jambatan, pembangunan infrastruktur dan pembinaan Bebuling STOLport.
Selain itu, tumpuan utama program Pengerami Malam Mantar Gawai Dayak adalah Pekit Kumang Gawai Dayak Tikas Menua Betong Taun 2026 yang mempamerkan dan mendedahkan kepada masyarakat luar mengenai keunikan pakaian tradisional masyarakat Iban iaitu Ngepan Iban. -EDISI UKAS