Program Gerak Aktif Hidup Positif Perkasa Peranan Wanita Daro
DARO: Peranan wanita sebagai penggerak utama pembangunan komuniti terus diperkasakan menerusi penganjuran Program Gerak Aktif Hidup Positif anjuran Pergerakan Wanita PBB N.43 Daro.
Program yang berlangsung di Dataran Kejat Daro pada Sabtu itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan pelbagai agensi dan pertubuhan wanita termasuk KEMAS Daro, Persatuan Pembangunan Wanita Sarawak (PPWS), Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Al-Syafie serta Pergerakan Wanita PBB dari Cawangan Semop dan Jemoreng.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Dr. Safiee Ahmad menzahirkan penghargaan kepada Pergerakan Wanita PBB yang sentiasa memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan perpaduan masyarakat serta menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, golongan wanita bukan sahaja menjadi tulang belakang keluarga, malah turut berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Pergerakan Wanita PBB Daro sentiasa aktif melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan, kebajikan dan kesedaran kesihatan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya semasa berucap.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran program berbentuk gaya hidup sihat seperti itu amat penting dalam melahirkan masyarakat yang aktif, sihat dan positif, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membentuk komuniti yang progresif dan sejahtera.
Program berkenaan turut diisi dengan pelbagai aktiviti riadah dan senamrobik yang berjaya mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta serta menyemarakkan semangat kerjasama komuniti di kawasan Daro.-EDISI UKAS