BLETEH: Sebanyak RM737,500 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi kawasan DUN N.64 Baleh diagihkan kepada 105 penerima terdiri daripada JKKK, Biro Wanita, PIBG dan persatuan tempatan.
Majlis Penyerahan cek MRP tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Bukit Mabong pada Isnin.
Beliau berkata, penyaluran MRP ini merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.
“Peruntukan ini diharap dapat membantu memperkasa peranan JKKK, Biro Wanita serta persatuan dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan setempat,” katanya.
Jelasnya, setiap permohonan bantuan perlu disertakan dengan surat rasmi bagi memudahkan proses kelulusan geran MRP selain menegaskan bahawa peruntukan tersebut hanya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan komuniti dan tidak dibenarkan untuk kegunaan peribadi.
Menurut beliau, penyaluran bantuan ini turut menyasarkan sokongan kepada sektor pendidikan, kebajikan serta pengukuhan organisasi tempatan di kawasan Baleh dan Kapit.
Beliau turut memaklumkan bahawa isu berkaitan keadaan jalan di DUN Baleh yang membimbangkan telah dikemukakan semula kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri untuk tindakan lanjut.
Hadir sama, Pegawai Perhubungan Komuniti Baleh Wesley Dugu, Wakil Pejabat Daerah Bukit Mabong Ricky Undu serta wakil-wakil persatuan, kelab, PIBG dan tuai rumah sekitar daerah Kapit dan Bukit Mabong. - EDISI UKAS