Tujuh Lembu Korban Disumbang Kepada Masjid Dan Surau Kawasan Tellian
MUKAH: Sebanyak tujuh ekor lembu korban disumbangkan kepada masjid dan surau di kawasan DUN Tellian sempena sambutan Hari Raya Aidiladha menerusi satu majlis penyerahan yang diadakan di kandang lembu milik Shafee di Kampung Judan baru-baru ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine sebagai tanda keprihatinan serta usaha memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, program berkenaan merupakan usaha berterusan dalam menyemarakkan penghayatan ibadah korban selain mempererat hubungan ukhuwah dan perpaduan komuniti setempat.
“Inisiatif ini telah dilaksanakan secara konsisten sejak empat tahun lalu demi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh masjid dan surau di sekitar kawasan DUN N57 Tellian.
“Semoga sumbangan yang disalurkan ini membawa keberkatan, mempererat silaturahim dan memberi manfaat kepada seluruh komuniti dalam menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba,” katanya.
Sehubungan itu, Royston turut mendoakan agar segala urusan masyarakat dipermudahkan selain dikurniakan kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah dan kehidupan yang aman serta sejahtera.
“Nilai kebersamaan dan semangat gotong-royong perlu terus diperkasakan bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak terus terpelihara,” tambahnya. - EDISI UKAS