Keselamatan Jalan Raya Jadi Keutamaan Sempena Hari Gawai
MIRI: Pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan memandu secara bertanggungjawab sepanjang sambutan Hari Gawai bagi mengelakkan kemalangan yang boleh meragut nyawa.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kebanyakan kemalangan jalan raya sebenarnya boleh dielakkan sekiranya pengguna lebih berdisiplin, berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya.
Menurut beliau, sambutan Hari Gawai sememangnya sinonim dengan suasana meriah, kunjung-mengunjung dan pertemuan bersama keluarga serta rakan-rakan, namun aspek keselamatan jalan raya tidak seharusnya dipandang ringan.
“Masyarakat Dayak sendiri sering mengingatkan antara satu sama lain dengan ungkapan ‘udah mabuk tinduk’, yang membawa maksud jika sudah mengambil minuman, lebih baik berehat dan tidak memandu.
“Jangan kerana satu keputusan yang salah, ia membawa kepada kemalangan dan tragedi yang boleh meragut nyawa,” katanya semasa Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Gawai Peringkat Bahagian Miri 2026 di Shell Permyjaya pada Isnin.
Beliau menambah, berdasarkan statistik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Miri, sebanyak 1,165 kemalangan jalan raya direkodkan bagi tempoh Januari hingga April 2026 berbanding 1,120 kes bagi tempoh sama tahun lalu, menunjukkan peningkatan sebanyak 45 kes atau empat peratus.
Katanya, kemalangan melibatkan kerosakan harta benda meningkat daripada 1,091 kes kepada 1,134 kes, manakala kemalangan ringan menurun daripada 13 kepada 10 kes dan kemalangan serius kekal sebanyak dua kes.
“Namun begitu, perkara yang paling membimbangkan ialah peningkatan kes maut.
“Jumlah kemalangan maut meningkat daripada 14 kes kepada 19 kes, manakala jumlah kematian meningkat daripada 15 kepada 20 orang, iaitu peningkatan melebihi 30 peratus.
“Beberapa lokasi hotspot kemalangan turut dikenal pasti termasuk Jalan Miri By-Pass, Jalan Kuala Baram By-Pass, Jalan Persisiran Pantai, Jalan Pan Borneo dan Jalan Miri-Airport,” katanya.
Selain itu, beliau berkata beberapa kawasan 'panas' yang sering mencatatkan kemalangan serius dan maut turut dikenal pasti termasuk Jalan Beraya di sepanjang Jalan Persisiran Pantai, beberapa bahagian Jalan Pan Borneo di kawasan Suai serta laluan Jalan Miri By-Pass dari Emart Riam menuju ke lampu isyarat Jalan Tanjung Batu.
Dalam kempen tersebut, Dato Sri Lee turut mengagihkan pelbagai barangan keselamatan jalan raya kepada pengguna termasuk safety triangle dan payung kepada pemandu kereta, manakala penunggang motosikal menerima topi keledar, vest keselamatan reflektif serta buku nota MOTS yang memaparkan mesej keselamatan jalan raya.-EDISI UKAS