BINTULU: Tuah nyata memihak kepada Tong Jong Jin apabila beliau diumumkan sebagai pemenang hadiah utama e-Peraduan Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Bintulu yang membawa pulang sebuah Proton e.MAS 5 pada Ahad.
Tong, 42, berkata beliau tidak menyangka namanya dipilih sebagai penerima hadiah utama selepas sekadar mencuba nasib dengan menghantar penyertaan sehari sebelum cabutan dibuat.
Menurut beliau yang bekerja sebagai Penyelia Pengagihan di Sarawak Water, kemenangan tersebut merupakan satu kejutan besar buat dirinya dan keluarga.
“Saya memang tidak menyangka akan memenangi hadiah utama ini dan berasa sangat terkejut serta gembira apabila nama diumumkan sebagai pemenang.
“Saya menghantar penyertaan pada pagi sehari sebelum cabutan dibuat dan hanya mencuba nasib,” katanya ketika ditemui selepas acara cabutan bertuah sempena penangguhan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Bintulu.
Beliau menambah, sebelum ini beliau pernah berhasrat memiliki kenderaan elektrik, namun merasakan belum tiba masa yang sesuai untuk berbuat demikian.
Katanya lagi, kenderaan tersebut berkemungkinan besar akan digunakan oleh isterinya.-EDISI UKAS