Keharmonian Sarawak Serlah Pendekatan Inklusif UNIFOR Dalam Sokongan Rumah Ibadat Pelbagai Agama
SERIAN: Keunikan landskap sosial Sarawak terus menyerlah melalui tahap perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang agama yang kukuh, sekali gus membolehkan pendekatan bantuan dilaksanakan secara inklusif tanpa batasan latar belakang.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kekuatan hubungan antara komuniti telah diterjemahkan dalam bentuk dasar pentadbiran negeri yang menekankan prinsip kesaksamaan serta saling menghormati, apabila bantuan seperti dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) disalurkan kepada pelbagai rumah ibadat secara adil dan menyeluruh.
“Keunikan perpaduan serta keharmonian yang wujud di Sarawak membolehkan bantuan seperti dana UNIFOR disalurkan kepada semua agama tanpa mengira latar belakang.
“Semua ini kita dapat lihat hanya di Sarawak sahaja, tiada di tempat lain. Walaupun pemimpin kita berlainan agama daripada kita, tetapi beliau tetap mendengar keperluan rakyat melalui pemimpin masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pemberkatan ‘Holy Spirit Chapel’ Kampung Rituh Labuan dan Mawang, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi ‘Holy Spirit Chapel’ Kampung Rituh Labuan dan Mawang, SD Laum Rikes dalam majlis yang sama berkata, usaha pembinaan gereja tersebut bermula sejak tahun 2014 melalui permohonan kepada wakil rakyat kawasan itu ketika itu, sebelum pembinaan fizikal dimulakan pada tahun 2018 menggunakan dana terkumpul.
Menurut beliau, pembinaan chapel tersebut disokong melalui pelbagai sumber pembiayaan termasuk dana awal berjumlah RM370,000, bantuan UNIFOR pada 2020 sebanyak RM200,000, serta tambahan RM100,000 pada tahun berikutnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pada tahun 2024, permohonan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah diluluskan sebanyak RM200,000, selain tambahan RM70,000 daripada UNIFOR bagi melengkapkan pembinaan serta kelengkapan dalaman.
Secara keseluruhannya, kos pembinaan dan kelengkapan chapel tersebut mencecah RM940,000 hasil sokongan Kerajaan Sarawak melalui pelbagai saluran bantuan termasuk UNIFOR. -EDISI UKAS