Sektor Pertanian Pemacu Pembangunan Inklusif Luar Bandar
LIMBANG: Sektor pertanian menjadi salah satu pemacu utama yang mendorong pembangunan inklusif untuk keseimbangan ekonomi luar bandar, khususnya di kawasan yang sedang pesat membangun.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pelbagai langkah sedang dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan sektor pertanian di Limbang, termasuk penyediaan infrastruktur pemprosesan yang lebih sistematik.
“Saya memang akan berusaha supaya sektor pertanian di Limbang ini ditingkatkan di mana kita ada satu buah kilang yang sudah siap, iaitu pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan di Kubong.
“Cuma sekarang ini kita masih menunggu untuk membeli mesin yang akan digunakan bagi memproses hasil pertanian yang pada peringkat permulaan menumpukan kepada tanaman cili, kemudian diikuti limau kasturi, nangka madu dan juga durian,” katanya semasa berucap pada Program Pra Gawai 2026 di sini, baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah, pembangunan sektor pertanian itu akan dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan kemudahan asas di kawasan luar bandar.
“Saya akan berusaha untuk meningkatkan sektor pertanian di Limbang ini selain dari kemudahan asas di kampung-kampung. Di bawah DUN Bukit Kota sahaja terdapat lebih kurang 60 kampung dan juga rumah panjang,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan mengenai peruntukan pembangunan yang disalurkan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) setiap tahun bagi memperkasa pembangunan luar bandar khususnya di kampung-kampung dan rumah panjang.
“Bagi ADUN GPS, setiap tahun kami menerima peruntukan sekitar RM8 juta. Daripada jumlah itu, RM5 juta diperuntukkan untuk Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk membina dewan dan juga melaksanakan pelbagai projek seperti jalan simen dari rumah ke rumah,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS