Program Korban Aidiladha Erat Silaturahim Masyarakat Sebangan
SEBUYAU: Program Ibadah Korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di kawasan Sebangan bukan sahaja menunaikan tuntutan agama, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sebanyak enam ekor lembu dikorbankan dalam program tersebut untuk diagihkan kepada penduduk di beberapa kampung sekitar Sebangan.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, lima ekor lembu merupakan sumbangan wakil ADUN manakala seekor lagi disumbangkan oleh wakil Ahli Parlimen bagi membantu menjayakan ibadah korban serta berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat.
Program berkenaan melibatkan Kampung Sampat, Kampung Lutong, Kampung Menek dan Kampung Arus Melayu dengan proses penyembelihan serta pengagihan daging korban dilaksanakan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.
Dalam pada itu, beliau turut memuji semangat gotong-royong yang ditunjukkan penduduk sepanjang program berlangsung yang menurutnya mencerminkan perpaduan serta keharmonian masyarakat luar bandar.
“Semangat kebersamaan yang ditunjukkan penduduk dalam menjayakan program ini amat membanggakan dan wajar terus diperkukuhkan,” katanya.
Daging korban kemudiannya diagihkan kepada penduduk kampung termasuk golongan asnaf, warga emas serta mereka yang memerlukan agar keberkatan Aidiladha dapat dikongsi bersama.
Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Sebuyau Tahir Putih, Penghulu Masyarakat Melayu Kawasan Sebangan Abdul Hamid Zaini dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Aman Sebangan Yaman Madian. -EDISI UKAS