LAWAS: Sukan tradisi lastik moden terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat apabila Pertandingan ‘Slingshot’ Tertutup Merapok, Lawas berjaya menarik penyertaan belia serta peminat sukan tersebut di Gelanggang Takraw Dewan Kampung Bangkatan Merapok, pada Isnin.
Program anjuran Merapok Slingshot Group (MSG) bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bangkatan itu menghimpunkan seramai 40 peserta yang bertanding dalam kategori beginner dan amatur.
Bagi kategori beginner, hadiah hamper disediakan untuk pemenang tempat pertama hingga ketiga, manakala kategori amatur menawarkan hadiah lastik moden bagi kedudukan pertama hingga kelapan.
Wakil penganjur, Mohamad Harrani Ekeni berkata, sukan slingshot kini semakin diminati dan menjadi antara aktiviti yang mampu menyatukan masyarakat pelbagai kaum tanpa mengira jantina.
Menurut beliau, sukan tradisi tersebut perlu dikekalkan serta diketengahkan kepada generasi muda sebagai aktiviti berfaedah bagi mengisi masa lapang.
“Dulu permainan lastik sering dianggap sekadar permainan kanak-kanak, namun kini ia berkembang menjadi satu sukan yang mempunyai komuniti tersendiri.
“Ia juga mampu menarik minat golongan muda untuk mencuba pengalaman baharu serta menggunakan masa dengan aktiviti yang lebih bermanfaat,” katanya.
Beliau berharap program seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menarik lebih ramai peminat baharu selain memperkukuhkan hubungan komuniti setempat melalui aktiviti riadah dan sukan rakyat tradisi. -EDISI UKAS