31 Asnaf Terima Agihan Daging Korban Parlimen Kota Samarahan
ASAJAYA: Seramai 31 penerima asnaf dari tiga kampung menerima agihan daging korban menerusi Program Penyerahan Daging Korban Parlimen Kota Samarahan yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Tambirat Lot, pada Rabu.
Program anjuran Pejabat Daerah Asajaya dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Kota Samarahan serta Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya itu dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan, tolong-menolong dan amalan beramal jariah dalam kalangan masyarakat setempat.
Dalam program tersebut, seekor lembu telah dikorbankan sebelum daging korban diagihkan kepada golongan asnaf melibatkan penduduk Kampung Tambirat Lot, Kampung Tambirat Tengah dan Kampung Tambirat Ulu.
Pengagihan daging korban telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Menurutnya, program ibadah korban bukan sahaja mencerminkan tuntutan agama, malah menjadi medium penting dalam menyemai nilai perpaduan, keprihatinan dan semangat kerjasama dalam komuniti.
Beliau berkata, penglibatan penduduk kampung secara bergotong-royong dalam aktiviti penyembelihan, membungkus dan pengagihan daging korban membuktikan semangat kekitaan masyarakat luar bandar masih kukuh dan terus dipelihara.
Hadir sama, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin. -EDISI UKAS