Program Ibadah Korban Santubong Semarak Semangat Prihatin, Perkukuh Kebersamaan Masyarakat
KUCHING: Pelaksanaan Majlis Ibadah Korban 1447H Peringkat Parlimen Santubong bukan sahaja menyemarakkan penghayatan Aidiladha, malah menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan serta keprihatinan terhadap golongan memerlukan di kawasan berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, sebanyak 16 ekor lembu korban berjaya disumbangkan hasil kerjasama pelbagai pihak yang komited menjayakan program kebajikan masyarakat.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, tiga ekor lembu disembelih pada majlis berkenaan sebelum diagihkan kepada penduduk di Zon Jakaseh yang melibatkan 15 kampung penerima.
“Baki 13 ekor lembu korban pula diagihkan secara berperingkat ke beberapa kawasan lain di bawah Parlimen Santubong melibatkan kawasan DUN Pantai Damai iaitu Zon Jakata dan Zon Jaksa serta DUN Demak Laut melibatkan Zon Bako dan Zon Tabuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ibadah Korban 1447H Peringkat Parlimen Santubong yang diadakan di Perkarangan Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bintawa Hilir, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penyumbang terdiri daripada Ancom Nylex Berhad, Perdana Petroleum Sdn Bhd, Hyraxx Oil Sdn Bhd dan Shapadu Sdn Bhd menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) atas komitmen bersama menjayakan ibadah korban tahun ini.
Dato Sri Nancy menambah, sumbangan yang disalurkan bukan sahaja membantu melancarkan pelaksanaan program, malah turut membawa manfaat dan kegembiraan kepada penduduk setempat khususnya golongan yang memerlukan.
Pada masa yang sama, beliau memaklumkan projek naik taraf Rumah JKKK Kampung Bintawa Hilir yang sebelum ini berada dalam keadaan kurang selesa dan tidak selamat kini telah siap sepenuhnya untuk kegunaan masyarakat termasuk anak-anak Tabika KEMAS.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha baik pulih atap Masjid Darul Islam Bintawa Hilir akan diselaraskan bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselesaan penduduk setempat.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan dana aktiviti masing-masing sebanyak RM8,000 kepada JKKK Kampung Bintawa Hilir dan Masjid Darul Islam Bintawa Hilir bagi melaksanakan program serta aktiviti kemasyarakatan sepanjang tahun ini.-EDISI UKAS