Dato’ Sri Huang Sumbang 16 Ekor Lembu Untuk Kawasan Sarikei Dan Meradong
SARIKEI: Sebanyak 16 ekor lembu disumbangkan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii sempena Majlis Qurban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 2026M/1447H yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin, pada Khamis.
Sumbangan tersebut melibatkan sembilan ekor lembu bagi kawasan Sarikei dan tujuh ekor lagi untuk kawasan Meradong sebagai tanda sokongan terhadap program ibadah korban tahun ini.
Dato Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata sambutan Aidiladha bukan sekadar perayaan keagamaan, malah membawa nilai besar seperti keikhlasan, kesyukuran dan semangat ukhuwah yang wajar diterapkan dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, kehadirannya pada majlis tersebut mencerminkan eratnya hubungan kekeluargaan dan semangat perpaduan yang sekian lama menjadi teras keharmonian masyarakat di Bahagian Sarikei.
“Walaupun saya tidak berkongsi kepercayaan agama yang sama, kehadiran saya di sini membuktikan kukuhnya ikatan perpaduan dan semangat kebersamaan masyarakat di Bahagian Sarikei,” katanya.
Tambah beliau, sumbangan tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada golongan penerima selain mengeratkan hubungan silaturahim tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat kerjasama dan perpaduan yang kukuh akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan serta kesejahteraan masyarakat di Bahagian Sarikei.
Sehubungan itu, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyemai nilai kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Residen Bahagian Sarikei merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan-Perayaan Islam Bahagian Sarikei Badjuri Bidin, Pegawai Tadbir Khas RADDA Kelana Kipli serta Pemangku Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Sarikei Syed Harold Salleh Wan Mohammad.-EDISI UKAS