Kerajaan Sarawak Sambut Baik Pendekatan Desentralisasi Pembangunan Lapangan Terbang Baharu Kuching
PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak menyambut baik keterbukaan Kerajaan Persekutuan untuk meneroka model pembangunan lapangan terbang secara desentralisasi dalam perbincangan berkaitan cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu (NKIA).
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata perkara itu merupakan antara hasil utama kunjungan hormat beliau kepada Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook di Putrajaya pada 26 Mei lalu.
Beliau berkata, pendekatan desentralisasi yang sedang dipertimbangkan bagi NKIA mencerminkan model pembangunan yang lebih kolaboratif dengan memberi peranan lebih besar kepada Kerajaan Sarawak dalam perancangan dan pelaksanaan projek tersebut sambil menyokong aspirasi penerbangan dan ekonomi jangka panjang Sarawak.
Menurut beliau, kerajaan negeri kekal komited untuk memperkukuh infrastruktur penerbangan rantau ini bagi menyokong pertumbuhan ekonomi masa hadapan dan permintaan penumpang yang semakin meningkat.
“NKIA yang dicadangkan adalah sebahagian daripada visi jangka panjang Sarawak untuk memperkukuh kedudukan kami sebagai hab penerbangan serantau dan meningkatkan ketersambungan untuk pergerakan penumpang dan kargo,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dato Sri Lee berkata mesyuarat itu turut membincangkan beberapa perkara strategik berkaitan pengangkutan di Sarawak termasuk pembangunan sektor penerbangan, kesalinghubungan udara domestik, infrastruktur rel serta isu logistik.
Tambahnya, pertemuan berkenaan juga memberi peluang untuk membincangkan kenaikan tambang penerbangan domestik di Sarawak, di mana beliau mencadangkan untuk menghidupkan semula laluan Kuching–Sibu, Kuching–Bintulu dan Kuching–Miri di bawah rangka kerja Obligasi Perkhidmatan Awam Perkhidmatan Udara Luar Bandar (PSO).
Jelas beliau, cadangan tersebut mampu meningkatkan kesalinghubungan serta mengurangkan beban kos perjalanan rakyat Sarawak.
Turut dibincangkan ialah kemungkinan memperkenalkan mekanisme had tambang penerbangan bagi laluan terlibat dan Anthony Loke mencadangkan AirBorneo mempertimbangkan operasi komersial bagi laluan tersebut menggunakan pesawat ATR72 sedia ada.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh perkembangan terkini AirBorneo, projek landasan kereta api Bintulu-Samalaju di bawah inisiatif lebih besar Trans-Borneo Railway, isu pelaksanaan Peranti Had Kelajuan (SLD) bagi kenderaan komersial serta Perintah Sekatan Berat (WRO) melibatkan kenderaan berat di Lebuh Raya Pan Borneo.
Sementara itu, Dato Sri Lee memaklumkan penerbangan tambahan antara Miri dan Bario telah diluluskan sempena Pesta NUKENEN yang dijadual berlangsung pada Julai 2026 bagi menampung peningkatan permintaan perjalanan sepanjang festival tersebut.
Kedua-dua menteri turut bertukar pandangan mengenai beberapa inisiatif pengangkutan yang melibatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Menurut Dato Sri Lee lagi, pertemuan itu mencerminkan hubungan kerjasama erat antara Kementerian Pengangkutan Malaysia dan MOTS dalam menangani isu pengangkutan serta meningkatkan kesalinghubungan demi manfaat rakyat.
Turut hadir semasa kunjungan hormat itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Tetap MOTS Datu Wong Hee Sieng, Ketua Bahagian Pengangkutan Darat dan Logistik Chong Chi Fam serta Ketua Bahagian Penerbangan Dayang Nurhayati Abang Ahmad.-EDISI UKAS