BINTANGOR: Program SABERKAS Prihatin terus menjadi platform mendekati rakyat apabila kunjungan kebajikan diadakan di kediaman Exco SABERKAS Cawangan Meradong, Khairul Akmal Ibrahim di Kampung Amin di sini, pada Jumaat.
Program tersebut disertai barisan Exco Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Meradong serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Menurut Datuk Ding, program seumpama itu bukan sahaja bertujuan menghulurkan bantuan, malah menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim antara pemimpin, pertubuhan belia dan masyarakat setempat.
Beliau berkata, budaya prihatin dan semangat saling membantu perlu terus diperkasakan dalam usaha membentuk masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan Exco SABERKAS Meradong yang sentiasa aktif melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan kesukarelawanan demi manfaat penduduk di kawasan Meradong.
Datuk Ding berharap semangat kerjasama, perpaduan dan sikap prihatin dalam kalangan masyarakat dapat terus diperkukuhkan demi melahirkan komuniti yang lebih penyayang, progresif dan sejahtera.
Dalam kunjungan tersebut, Datuk Ding turut meluangkan masa bertanya khabar serta meninjau keadaan Khairul Akmal yang mengalami masah sakit pinggang dan keluarganya.-EDISI UKAS