HDC Komited Pastikan Bantuan Perumahan Dinikmati Golongan Memerlukan
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) menegaskan komitmennya untuk memastikan bantuan perumahan rakyat terus dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan menerusi pelaksanaan pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang adil, telus dan berhemah.
Menurut HDC, pengurusan PPR Sewa dilaksanakan berdasarkan garis panduan dan syarat yang telah ditetapkan bagi memastikan bantuan perumahan dapat disalurkan secara saksama kepada golongan berpendapatan rendah yang memerlukan sokongan kerajaan.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, HDC menjelaskan bahawa program PPR diwujudkan sebagai penempatan sementara kepada keluarga berpendapatan rendah yang menduduki tanah kerajaan serta mereka yang masih belum mampu memiliki rumah sendiri.
Program itu menawarkan kadar sewa yang rendah dan mampu dibayar dengan tempoh maksimum penyewaan selama 10 tahun.
Bagi memastikan bantuan perumahan terus disalurkan kepada golongan yang layak, HDC melaksanakan semakan kelayakan penyewa secara berkala, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai keluarga yang memerlukan untuk menikmati kemudahan perumahan tersebut.
Antara aspek yang dinilai dalam proses penyambungan sewa termasuk tempoh penyewaan, pendapatan isi rumah, pemilikan rumah atau tanah, rekod pembayaran sewa dan utiliti serta pematuhan terhadap syarat penyewaan.
Menurut HDC, setiap permohonan penyambungan sewa akan diteliti secara kes demi kes oleh Jawatankuasa Special Housing Tenancy Approval Committee (SHTAC) dengan mengambil kira pelbagai faktor kebajikan seperti masalah kesihatan, kehilangan pendapatan dan tanggungan keluarga.
Dalam pada itu, peningkatan permohonan bagi unit PPR menunjukkan keperluan terhadap bantuan perumahan sewa masih tinggi dalam kalangan rakyat.
Sehubungan itu, HDC sentiasa berusaha memastikan pengagihan kemudahan perumahan rakyat dilaksanakan secara teratur dan memberi manfaat kepada mereka yang paling memerlukan.
HDC turut menyeru orang ramai agar mendapatkan maklumat berkaitan polisi dan pengurusan PPR daripada saluran rasmi bagi mengelakkan kekeliruan, selain menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh pengurusan perumahan rakyat demi kesejahteraan masyarakat khususnya golongan B40.-EDISI UKAS