Projek Jambatan Tebing Barat Sibu Kini Dalam Fasa Kajian Tapak, Perancangan
SIBU: Cadangan projek Jambatan Tebing Barat yang bakal menghubungkan bandar Sibu dengan kawasan tebing barat kini telah memasuki peringkat kajian tapak dan perancangan keseluruhan bagi menentukan jajaran terbaik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, penilaian teknikal sedang berjalan bagi meneliti lokasi penyambungan serta konsep reka bentuk jambatan yang sesuai sebelum pelaksanaan projek dipercepatkan.
"Reka bentuk jambatan yang berbeza akan menjejaskan sejauh mana jalan penghubung perlu dipanjangkan, dan mungkin juga melibatkan tanah serta kawasan perumahan berhampiran.
“Oleh sebab itu, kajian terperinci dan penyelarasan adalah amat diperlukan," katanya ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Majlis Makan Malam Hari Ibu Bapa dan Penghargaan Warga Emas di sini, pada Rabu.
Menurut Chieng, idea pembinaan jambatan tersebut pertama kali diusulkan oleh Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan Kevin Lau Kor Jie tahun lalu, sebelum Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengarahkan ADUN Nangka Datuk Dr. Annuar Rapaee dan ADUN Pelawan Datuk Michael Tiang Ming Tee untuk menyelaras kajian susulan.
Tambah beliau, projek infrastruktur ini amat kritikal memandangkan kawasan tebing barat yang pesat membangun kini berdepan kekangan isu pengangkutan dan ketersambungan jalan raya ekoran pertambahan zon domestik serta pertanian.
Selain isu jalan raya, Chieng turut memaklumkan perkembangan Projek Sistem Penapisan Air Kecemasan Rantau Panjang yang kini telah mencapai kemajuan fizikal sekitar 33 hingga 34 peratus.
“Projek air tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang November ini dan bakal memberi manfaat besar kepada zon limbungan kapal, sekolah, rumah panjang, serta komuniti perumahan setempat.
“Inisiatif ini menyusul selepas kejayaan Sistem Rawatan Air Kecemasan Sungai Sadit yang kini beroperasi membekalkan empat juta liter air sehari, dan akan menyelesaikan isu gangguan bekalan air penduduk,” katanya.
Sementara itu, menyentuh soal keharmonian, Chieng menyeru masyarakat untuk terus menerapkan nilai murni dan memelihara perpaduan kaum di Sarawak demi memacu negeri ke arah masa depan yang lebih maju.-EDISI UKAS