Lima Masjid, Surau Terima Enam Ekor Lembu Korban Sumbangan ADUN Simanggang
SIMANGGANG: Sebanyak enam ekor lembu korban disumbangkan kepada lima masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Sumbangan tersebut disalurkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis sebagai usaha menyemarakkan sambutan Aidiladha serta membantu komuniti Islam di kawasan berkenaan.
Antara penerima sumbangan ialah Masjid Darul Syakirin, Surau An Nur, Surau Darul Hasanah, Surau As-Syakirin dan Surau Darul Solihin.
Daripada jumlah tersebut, Masjid Darul Syakirin menerima dua ekor lembu korban yang akan diagihkan kepada penduduk Islam di beberapa zon Kampung Muhibbah, manakala empat lagi surau masing-masing menerima seekor lembu korban untuk diagihkan kepada komuniti setempat.
Melalui wakilnya, Datuk Francis berpesan agar masyarakat terus memelihara keharmonian dan perpaduan yang menjadi asas kepada kestabilan serta pembangunan Sarawak.
Menurut beliau, perpaduan yang kukuh membolehkan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat. -EDISI UKAS