Empat Ekor Lembu Dikorbankan Dalam Program Ibadah Korban PPD Sri Aman
SIMANGGANG: Sebanyak empat ekor lembu dikorbankan menerusi Program Ibadah Korban 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman dengan kerjasama Persatuan Korban Kampung Tengah Sri Aman yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Tengah Sri Aman, pada Khamis.
Program yang dilaksanakan secara gotong-royong itu melibatkan penyertaan seramai 28 warga PPD Sri Aman dan penduduk Kampung Tengah Sri Aman.
Penyelaras program, Syaifullah Ismail berkata, antara objektif utama penganjuran program tersebut adalah untuk memupuk semangat kerjasama dan ukhuwah antara warga pendidikan serta komuniti setempat.
Menurut beliau, program itu turut memberi peluang kepada umat Islam menghayati nilai pengorbanan dan keikhlasan menerusi pelaksanaan ibadah korban.
Aktiviti program dimulakan dengan taklimat ibadah korban sebelum diteruskan dengan proses penyembelihan dan melapah daging serta majlis penyerahan daging korban kepada penerima yang disempurnakan Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin.
Sementara itu, Abdul Rahman berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat.
Katanya, semangat kerjasama dan gotong-royong yang ditunjukkan sepanjang program mencerminkan nilai perpaduan yang kukuh dalam komuniti setempat. -EDISI UKAS