Dua Dewan Serbaguna Bernilai RM900,000 Siap, Manfaat Penduduk Kampung Bagak & Pasir Tengah
LUNDU: Penduduk Kampung Bagak dan Kampung Pasir Tengah kini menikmati kemudahan dewan serbaguna yang lebih selesa dan moden apabila projek pembinaannya siap sepenuhnya dengan nilai keseluruhan RM900,000.
Kemudahan tersebut diserahkan kepada komuniti setempat menerusi Majlis Penyerahan Projek Siap bagi Projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang.
Setiap dewan dibina dengan peruntukan RM450,000, menjadikan keseluruhan kos projek sebanyak RM900,000 sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh kemudahan awam di kawasan luar bandar.
Dalam ucapannya, Billy berkata kemudahan seperti dewan serbaguna memainkan peranan penting sebagai pusat aktiviti komuniti selain menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.
Menurut beliau, dewan tersebut boleh dimanfaatkan untuk pelbagai program termasuk mesyuarat, aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan, pendidikan serta majlis rasmi yang melibatkan komuniti setempat.
Projek di bawah GKCDA itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluaskan pembangunan infrastruktur luar bandar bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat di kawasan DUN Opar. -EDISI UKAS