Belia Diseru Teruskan Tradisi & Warisan Kaum Bidayuh
PADAWAN: Golong belia di sini diseru untuk terus memelihara warisan budaya masyarakat Bidayuh yang bukan sekadar simbol warisan, tetapi juga mencerminkan nilai kehidupan, perpaduan serta jati diri masyarakatnya.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata, warisan budaya seperti adat resam, amalan kesyukuran selepas musim menuai serta permainan tradisional termasuk bunyian gong dan tarian kebudayaan merupakan identiti penting masyarakat yang perlu dipelihara secara berterusan.
“Sehubungan itu, penglibatan golongan belia dalam aktiviti kebudayaan amat penting bagi memastikan kesinambungan tradisi tidak terputus, khususnya dalam era moden yang semakin dipengaruhi perubahan gaya hidup,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pra Gawai Kampung Emperoh Karu, di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, usaha memperkukuh budaya juga akan diperkasa melalui penganjuran pertandingan kebudayaan seperti tarian tradisional, pakaian adat dan permainan gong, selain berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan budaya.
Dalam pada itu, Datuk Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong memaklumkan bahawa sebuah dewan serbaguna baharu di Tapak RGC Bayur kini dalam pelaksanaan dan dijangka menjadi pusat utama penganjuran sambutan Gawai berskala besar yang mampu menampung lebih 1,000 orang.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasai Pejabat Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong. -EDISI UKAS