RM569,200 Insentif Perkahwinan, Kelahiran Baharu Disalurkan Di Pelawan Sejak 2022
SIBU: Sebanyak RM569,200 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan insentif perkahwinan baharu dan kelahiran baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan sejak tahun 2022 hingga kini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, sepanjang tempoh tersebut seramai 527 pasangan telah mendirikan rumah tangga manakala 1,019 bayi dilahirkan di kawasan berkenaan.
“Hari ini, kita menyampaikan insentif perkahwinan dan kelahiran baharu bukan sekadar untuk meraikan sebuah majlis perkahwinan, dan bukan juga sekadar menyambut kelahiran seorang bayi.
“Kita meraikan kesinambungan nilai kekeluargaan, meraikan kelangsungan kehidupan, dan pada masa yang sama melabur demi masa depan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Meraikan Pasangan Pengantin Baharu dan Kelahiran Baharu DUN Pelawan, di sini pada Jumaat.
Difahamkan, seramai 123 pasangan pengantin baharu dan 211 bayi diraikan pada majlis itu, dengan penyampaian insentif berjumlah RM124,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu menambah, Sarawak sedang bergerak ke arah menjadi wilayah berpendapatan tinggi dan maju melalui pembangunan ekonomi digital, tenaga hijau, kecerdasan buatan, industri aeroangkasa serta infrastruktur.
Bagaimanapun, beliau menegaskan aset paling penting Sarawak bukanlah sumber asli, tetapi rakyatnya.
“Setiap keluarga merupakan unit paling asas dalam masyarakat dan setiap anak pula adalah harapan masa depan Sarawak.
“Mungkin 20 atau 30 tahun akan datang, dalam kalangan bayi yang menerima insentif hari ini, akan lahir doktor, guru, jurutera, usahawan, saintis, malah generasi pemimpin baharu yang bakal menerajui Sarawak pada masa hadapan,” ujarnya.-EDISI UKAS