Penganjuran Karnival Gawai Beratok Hidupkan Potensi Luar Bandar
SIBURAN: Penganjuran Karnival Hari Gawai Beratok bukan sekadar medan meraikan warisan budaya masyarakat Dayak, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan komuniti luar bandar.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program yang digerakkan oleh komuniti setempat mampu menghidupkan suasana kampung, menarik kehadiran pengunjung serta membuka peluang ekonomi kepada penduduk.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Gawai Karnival anjuran Persatuan Kebudayaan Komuniti Beratok Siburan yang berlangsung di Tapak Karnival Beratok pada Jumaat.
Karnival yang berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun itu menjadi platform utama komuniti setempat untuk meraikan warisan budaya masyarakat serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan penduduk di kawasan Siburan dan sekitarnya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa gembira melihat inisiatif jawatankuasa baharu yang berjaya menganjurkan program berskala komuniti bagi memeriahkan kawasan Beratok.
“Saya sungguh senang hati kerana jawatankuasa baharu ini dapat mengadakan program seperti ini. Sejak dahulu lagi saya berharap ada aktiviti yang boleh menghidupkan kawasan ini dan menarik orang ramai datang ke Beratok,” katanya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu lagi, perkembangan semasa yang menyaksikan pembukaan premis perniagaan baharu di kawasan tersebut membuktikan bahawa Beratok mempunyai potensi untuk terus berkembang seiring arus pembangunan.
Katanya, program komuniti yang dilaksanakan secara konsisten mampu mewujudkan aktiviti ekonomi setempat serta memberi manfaat langsung kepada penduduk.
Menyentuh pembangunan infrastruktur di kawasan beliau, Dato Sri Roland mendedahkan, kerajaan akan berusaha membina jambatan sementara bagi membantu penduduk meneruskan aktiviti pertanian selepas jambatan asal terjejas akibat banjir.
Katanya, usaha tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada para petani, malah turut membantu masyarakat mendapatkan bekalan sayur-sayuran tempatan dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat. -EDISI UKAS