Tradisi Kunjung-Mengunjung Hari Gawai Cerminan Keharmonian Masyarakat Sarawak
SARIKEI: Tradisi kunjung-mengunjung yang diamalkan sempena sambutan Hari Gawai Dayak terus menjadi lambang keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, masyarakat Dayak dan Iban sememangnya terkenal dengan sifat mesra serta keterbukaan menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai latar belakang kaum, khususnya ketika musim perayaan.
Menurut beliau, amalan saling mengunjungi antara masyarakat Dayak, Cina dan kaum-kaum lain ketika sambutan Gawai Dayak mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian yang telah lama menjadi identiti rakyat Sarawak.
“Tradisi pulang ke kampung dan rumah panjang bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah melambangkan nilai perpaduan, kasih sayang serta penghormatan terhadap warisan budaya yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya semasa melawat ke beberapa rumah panjang di kawasan Ulu Paoh dan Ulu Minus menjelang sambutan Hari Gawai Dayak, pada Sabtu.
Sempena sambutan perayaan itu, beliau juga menyampaikan bantuan melibatkan 260 Projek Pintu kepada jawatankuasa rumah panjang yang terlibat sebagai usaha membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Antara rumah panjang yang dilawati ialah Rumah Taka Jabu, Rumah Rampoo Paing, Rumah Jalang Ambas, Rumah Kiong Rangi dan Rumah Ningkang Jungan di kawasan Ulu Paoh.
Di kawasan Ulu Minus pula, beliau mengunjungi Rumah Ibik Aji, Rumah Setia Ungok dan Rumah Sigan Kiam.-EDISI UKAS