30 JKKK DUN Muara Tuang Terima Geran Tahunan Sempena Hari Gawai
KOTA SAMARAHAN: Seramai 30 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima geran tahunan sempena sambutan Hari Gawai.
Geran tahunan berkenaan bertujuan membantu JKKK melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, program pembangunan komuniti serta persiapan sambutan Hari Gawai di peringkat kampung.
Menurut Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang, geran tersebut merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk memperkasakan institusi JKKK sebagai penggerak utama pembangunan dan perpaduan masyarakat di peringkat akar umbi.
“JKKK bukan sahaja berfungsi sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, malah menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai aktiviti yang menyatukan masyarakat serta memperkukuhkan semangat kejiranan dan perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Marqas Operasi DUN Muara Tuang, Kr Aziz Mohamad dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Operasi Marqas DUN Muara Tuang, Taman Desa Ilmu, pada Sabtu.
Tambahnya, peranan JKKK amat penting dalam memastikan setiap program pembangunan dan kebajikan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan penduduk setempat. -EDISI UKAS