Sibu Berpotensi Jadi Hab Acara Perniagaan, Pelancongan Industri
SIBU: Sibu mempunyai potensi besar untuk memperkukuh kedudukannya serta Sarawak secara keseluruhan sebagai destinasi utama bagi acara perniagaan dan pelancongan industri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing berkata, penganjuran acara bertaraf antarabangsa di wilayah ini bukan sahaja memperkasakan sektor industri terbabit, malah membawa limpahan ekonomi yang signifikan kepada komuniti setempat.
"Konvensyen dan pameran seperti hari ini bukan sahaja memperkukuh Sibu dan Sarawak sebagai destinasi brpotensi untuk acara perniagaan dan pelancongan industri, tetapi juga membolehkan pengunjung merasai budaya kita.
"Ini juga akan membantu ekonomi kita, terutamanya bagi perniagaan tempatan, pelancongan, dan masyarakat," katanya semasa merasmikan Majlis Pembukaan Konvensyen dan Pameran Perniagaan Automotif Antarabangsa 2026 di Hotel Kingwood, di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Tiong menjelaskan bahawa sektor automotif kini berkembang pesat seiring dengan kemajuan teknologi digital, mobiliti pintar, kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), dan amalan mampan.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu menggesa para pemain industri untuk terus berinovasi, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, dan menyesuaikan diri dengan trend pasaran semasa bagi mengekalkan daya saing.
"Saya gembira Sibu memainkan peranan aktif dalam mempromosikan inovasi teknikal dan keusahawanan dalam sektor automotif.
"Ini mencerminkan keupayaan dan keazaman pemain industri tempatan untuk kekal kompetitif dan relevan, di samping mencipta lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk membina kerjaya dalam bidang ini," ujarnya.
Beliau menambah bahawa pekerja mahir dan profesional teknikal merupakan aset berharga dalam pembangunan negara menuju ekonomi dipacu teknologi. -EDISI UKAS