Pertanian Komersial Fokus Pembangunan Sosioekonomi Luar Bandar
LIMBANG: Pertanian komersial menjadi fokus utama pembangunan sosioekonomi luar bandar di negeri ini menerusi penglibatan pelabur dan syarikat berkapasiti besar.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pendekatan membawa masuk syarikat besar untuk membangunkan kilang di negeri ini mampu meningkatkan nilai tambah hasil pertanian tempatan.
Katanya, selain memacu pembangunan industri berasaskan pertanian, penglibatan pelabur dan syarikat berkapasiti besar juga akan meningkatkan nilai tambah hasil tempatan.
“Sebagai contoh, sebuah kilang nanas berskala besar kini sedang dibina di Miri. Ini membuka peluang kepada kawasan lain termasuk Limbang untuk mengusahakan penanaman nanas secara komersial, khususnya varieti Sarawak Gold 1 (SG-1),” katanya semasa berucap pada Program Pra Gawai 2026 di Rh. Rumpang pada Jumaat.
Beliau menambah, program penanaman nanas akan dirancang secara berperingkat bagi menggalakkan pengeluaran berskala besar di Limbang, selaras dengan usaha memperkukuh sektor pertanian negeri.
Menurutnya, durian, kelapa, pisang dan nanas merupakan antara komoditi pertanian yang diberi tumpuan oleh kerajaan negeri, selain pelaksanaan program penanaman padi secara berskala besar bagi menjamin sekuriti makanan di negeri ini.
Jelasnya, di Limbang kawasan Kampung Pandam dan Kampung Sundar di Lawas telah dikenal pasti sebagai lokasi strategik untuk dijadikan sebagai jelapang padi dengan penglibatan syarikat besar.
Dalam sektor komoditi pula, beliau menjelaskan tanaman kelapa sawit dan getah terus memainkan peranan penting dalam ekonomi Sarawak, dengan industri sawit yang memiliki rantaian lengkap daripada peringkat penanaman hingga pemasaran.
Katanya, kewujudan kilang pemprosesan di Limbang turut menyokong perkembangan komoditi sawit di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat setempat agar merebut peluang dalam sektor pertanian, khususnya tanaman bernilai tinggi seperti kelapa sawit bagi menjana pendapatan mereka.-EDISI UKAS