Program Penghayatan Ibadah Korban Eratkan Ukhwah Komuniti Kuala Lawas
LAWAS: Program Penghayatan Ibadah Korban anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Lawas dengan kerjasama Lembaga Amanah Khairat Islam (LAKHIL) Lawas berjaya menyemarakkan semangat gotong-royong dan memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat di Kuala Lawas.
Program yang berlangsung di Kampung Pemukat dan Kampung Dato pada Khamis itu melibatkan peserta kelas mengaji PERKIM Kuala Lawas serta penduduk setempat yang berganding bahu menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang proses penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban.
Melalui program tersebut, para peserta berpeluang menghayati makna sebenar ibadah korban yang menuntut pengorbanan dan keikhlasan sekaligus menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan berkongsi rezeki, membantu golongan yang memerlukan serta mensyukuri nikmat yang dikurniakan.
Pengagihan daging korban kepada penduduk kampung mencerminkan keprihatinan pihak penganjur dalam memastikan manfaat ibadah korban dapat dinikmati secara menyeluruh, khususnya oleh komuniti setempat.
Pada masa sama, program tersebut berjaya merapatkan hubungan antara peserta kelas agama dan penduduk kampung melalui aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan secara bersama.
Usaha itu sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih harmoni, bersatu padu dan saling menyokong dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti. -EDISI UKAS